Kejuruteraan Elektrik
Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (PKEE) adalah merupakan pengabungjalinan antara bidang kejuruteraan elektrik & elektronik. Mata pelajaran ini menyediakan pengetahuan teori dan amali dalam bidang teknologi elektrik, elektronik dan komputer. Selain dari mengikuti topik berkaitan dengan bidang kejuruteraan elektrik & elektronik, murid akan dilengkapkan dengan kemahiran penting yang lain melalui topik seperti keselamatan dan pengurusan.
Topik-topik elektrik merangkumi asas elektrik, kaedah penjanaan bekalan kuasa dan pengendalian dan kawalan mesin elektrik.
Topik-topik elektronik pula merangkumi asas elektronik, pengujian dan pengawalan, asas sistem berdigit, asas sistem perhubungan dan asas robotik. Disamping itu juga terdapat topik untuk asas pengenalan dan penyelenggaraan komputer.
Objektif:
- Mengetahui dan mengamalkan peraturan keselamatan am dan pertolongan cemas.
- Mengetahui kepentingan dan keperluan elektrik dalam kehidupan harian.
- Mengetahui dan memahami sumber elektrik dan kegunaannya.
- Mengetahui dan memahami prinsip elektrik, hukum, formula, terminologi, proses dan prosedur dalam kejuruteraan elektrik.
- Mengenal pasni jenis komponen elektrik dan elektronik.
- Mengetahui dan menggunakan perkakas elektrik dan elektronik dan alat tangan.
- Mengetahui dan menggunakan alatan pengujian dan pengukuran.
- Mengamalkan nilai-nilai murni dan etika kerja serta bekerjasama dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam bidang elektrik dan elektronik.
- Menghargai kerja-kerja amali / projek yang dihasilkan sendiri.
- memupuk minat, sifat kreatif dan inovatif dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
- Memperoleh pengetahuan asas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Sukatan Pelajaran:
Bab 1.0 PENGENALAN
Topik ini memperkenalkan kepentingan dan keperluan elektrik dalam kehidupan harian, sumber tenaga lain yang dihasilkan oleh tenaga elektrik, sumber tenaga, sistem penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik kepada pengguna.
Bab 2.0 KESELAMATAN
Topik ini menekankan kepentingan keselamatan diri, alat kelengkapan, peraturan keselamatan dalam bengkel, kesan kemalangan dan kaedah pertolongan cemas.
Bab 3.0 LITAR ARUS TERUS (AT)
Topik ini menerangkan konsep kuantiti dan Unit, hukum Ohm dan hukum Kirchoff, jenis-jenis litar arus terus, kaedah menghitung kuantiti elektrik, jenis meter AT dan kaedah menyambung meter dalam litar arus terus.
Bab 4.0 LITAR ARUS ULANGALIK (AU)
Topik ini menerangkan konsep kuantiti dan unit, jenis komponen, terminologi berkaitan arus ualangalik, kaedah menghitung kuantiti elektrik dalam litar siri arus ulangalik, frekuensi salun dan litar penalaan.
Bab 5.0 KEELEKTROMAGNETAN
Topik ini menerangkan prinsip keelektromagnetan, jenis peranti dan komponen keelektromagnetan, kaedah menyambung litar geganti, solenoid dan loceng elektrik.
Bab 6.0 PENGUBAH
Topik ini menerangkan prinsip kendalian pengubah, jenis-jenis pengubah dan kegunaan, gelombang voltan keluaran, kaedah menghitung kuantiti dan kecekapan pengubah.
Bab 7.0 SEPARUH PENGALIR
Topik ini menerangkan prinsip penghasilan separuh pengalir, jenis komponen separuh pengalir, pengaliran arus dalam separuh pengalir hakiki dan separuh pengalir ekstrinsik.
Bab 8.0 DIOD
Topik ini menerangkan konsep binaan diod, jenis diod dan kegunaan, prinsip kendalian, kaedah menghitung kuantiti elektrik dalam litar diod dan jenis-jenis bekalan kuasa, kaedah membuat dan menguji projek bekalan kuasa
Bab 9.0 TRANSISTOR DWIKUTUB
Topik ini menerangkan konsep binaan transistor, jenis pincang transistor, prinsip kendalian, kaedah menghitung kuantiti elektrik dalam litar transistor dan kaedah menyambung dan menguji transistor pada papan litar tercetak.
Bab 10.0 KOMPONEN SEPARUH PENGALIR LAIN
Topik ini menerangkan jenis-jenis komponen separuh pengalir lain, kegunaan FET, tiristor dan elektronik optik dalam kehidupan harian
Bab 11.0 ELEKTRONIK BERDIGIT
Topik ini menerangkan jenis get logik, kombinasi get logik, operasi arithmetik, flip-flop dan kegunaannya dalam kehidupan harian
Bab 12.0 PERHUBUNGAN
Topik ini menerangkan konsep sistem perhubungan, jenis media perhubungan, terminologi berkaitan, perbezaan AM dan FM, jenis pemodulatan berdigit dan kaedah menghitung lebar jalur dan jalur sisi.
Bab 13.0 PENGENALAN KEPADA KOMPUTER
Topik ini memperkenalkan sistem komputer, terminologi berkaitan, jenis-jenis sistem rangkaian dan kriteria pemilihan komputer mikro (peribadi).
Bab 14.0 MOTOR
Topik ini menerangkan jenis motor arus terus dan motor arus ulangalik, prinsip kendalian, fungsi setiap komponen/peranti dan kegunaan motor.
Peluang Melanjutkan Pelajaran :
Berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Institusi Pengajian Tinggi samaada Awam dan Swasta di dalam bidang-bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik
Prospek Kerjaya:
Bidang Kejuruteraan Elektrik telah dikenalpasti sebagai salah satu bidang yang berpotensi untuk dimajukan bagi pembangunan industri masa depan. Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera elektrik dan elektronik dan dengan itu prospek murid setelah tamat mengikuti kursus ini amatlah baik serta meningkat dari masa ke semasa. Keperluan ini semakin bertambah dengan meningkatnya pelaburan asing di negara kita terutama di industri elektrik, elektronik dan semikonduktor selain daripada syarikat berkaitan dengan teknologi maklumat . Antara jawatan yang berkaitan adalah Jurutera Elektrik, Jurutera Elektronik, Juruteknik, Penyelia, Juruteknik Kanan, Pembantu Jurutera dan Pembantu Teknik di sektor Kerajaan / Badan berkanun / Sektor Awam dan sebagainya.

