Kejuruteraan Mekanikal
Kejuruteraan Mekanikal
Sinopsis :
Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Mekanikal adalah merupakan satu bidang khusus yang digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia. Mata pelajaran ini menyediakan pengetahuan teori dan amali dalam bidang teknologi yang menghasilkan reka bentuk dalam sektor pengeluaran,pembuatan,penyelenggaraan loji dan peralatan yang digunakan dalam industri. Terdapat juga topik-topik berkaitan dengan bidang metrologi, mekanik, amalan bengkel, bahan kejuruteraan dan sistem. Murid turut akan dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran penting yang lain melalui topik seperti keselamatan dan pengurusan.
Topik-topik mekanik adalah kajian dalam sains fizik merangkumi topik daya, momen,geseran, asas kaji daya bahan serta takal dan gear.
Topik-topik sistem pula merangkumi asas sistem hidraulik , sistem pneumatik dan sistem robotik asas. Di samping itu terdapat topik asas pengenalan Kejuruteraan Mekanikal dan lukisan terbantu komputer.
Objektif:
- Mengetahui dan memahami tentang fakta, konsep / prinsip, terminologi, proses dan prosedur dalam kejuruteraan mekanikal.
- Menggunakan pengetahuan kejuruteraan mekanikal untuk membentuk pendapat yang rasional berhubung dengan masalah-masalah kejuruteraan mekanikal.
- Melahirkan minat dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan dapat memenuhi kerjaya dalam bidang ini.
- Memperkembangkan pemikiran kreatif menerusi aktiviti intelektual dan praktikal.
- Mengguna komputer, peralatan bengkel dan makmal dengan berkesan.
- Bersikap bertanggungjawab, bekerjasama serta mementingkan keselamatan diri sendiri dan insan lain.
- Mampu menyelesaikan masalah dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Sukatan Pelajaran :
TOPIK 1 : PENGENALAN KEPADA PENGAJIAN KEJURUTERAAN MEKANIKAL
Topik ini menerangkan prospek kerjaya, skop dan bidang teknologi dalam disiplin ilmu Kejuruteraan Mekanikal untuk membantu menghasilkan reka bentuk bagi sektor pengeluaran, pembuatan, automotif, penyelenggaraan loji dan peralatan yang digunakan dalam industri.
TOPIK 2 : KESELAMATAN
Topik ini menumpukan aspek tingkah laku dan kepentingan keselamatan. Penekanan kepada peraturan keselamatan, kaedah mengangkat dan penyimpanan bahan, penggunaan peralatan, kuasa elektrik, pencegahan kebakaran, kesan kemalangan dan prosedur pertolongan cemas.
TOPIK 3 : METROLOGI
Topik ini menerangkan konsep sains pengukuran yang amat penting dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, terutamanya bagi penghasilan produk seperti pengukuran dan pengujian menggunakan alat pengukuran seperti Angkup Vernier, Mikrometer, Penolokan, Had Batasan, Kawalan Mutu, Kaedah Persampelan dan Pengenalan ISO 9000.
TOPIK 4 : AMALAN BENGKEL
Penumpuan kepada aspek penggunaan peralatan dan mesin bagi proses kerja:
1. Pembuatan dan penyambungan menggunakan kaedah (bol dan nat,merivet pop,memateri dan mengimpal arka).
2. Kerja pemotongan menggunakan mesin pericih kepersegian dan mesin gerudi.
Penekanan juga kepada aspek berikut:
1. Prinsip kerja mesin lanjutan seperti mesin cnc,edm,edwc,mesin pemotongan plasma dan mesin pemotongan laser,
Proses tuangan logam (casting) dan kerja tekan (press work)
TOPIK 5 : BAHAN KEJURUTERAAN
Topik ini menerangkan bahan kejuruteraan sebagai sumber penting dalam proses pengeluaran sesuatu produk seperti bahan logam (logam ferus, logam bukan ferus dan aloi), bahan bukan logam dan bahan komposit, Selain itu, topik ini menekankan kepada pemahaman tentang sifat-sifat fizikal dan mekanikal sesuatu bahan serta proses rawatan haba sesuatu bahan bagi meningkatkan keupayaan dan kekuatan bahan tersebut.
TOPIK 6 : MEKANIK
Mekanik ditakrifkan sebagai sains fizik,iaitu merupakan satu kajian terhadap daya-daya yang bertindak ke atas sesuatu jasad sama ada jasad itu dalam keadaan pegun (statik) atau sedang bergerak (dinamik) serta menjelaskan fenomena fizik ke atas jasad tersebut. Tumpuan akan diberikan kepada tajuk berkaitan daya, momen, geseran, asas kajidaya bahan,takal dan gear.
TOPIK 7 : SISTEM
Topik ini memberi pendedahan tentang sistem automasi yang banyak digunakan dalam industri pengeluaran dan pembuatan bagi menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti. Sistem yang digunakan ialah Sistem Hidraulik, Sistem Pneumatik dan Sistem Robotik.
TOPIK 8 : LUKISAN TERBANTU KOMPUTER
Topik ini memberi penekanan kepada aplikasi komputer bagi menghasilkan lukisan komponen-komponen kejuruteraan dengan lebih cepat dan tepat sama ada dalam bentuk dua dimensi (2D) atau tiga dimensi (3D) dengan menggunakan perisian CAD (Computer Aided Design)
TOPIK 9 : REKA BENTUK
Topik ini membincangkan proses untuk menghasilkan sesuatu produk baharu atau pengubahsuaian dalam bidang teknologi untuk memenuhi kehendak pelanggan. Pelajar diberi pendedahan tentang proses menghasilkan reka bentuk daripada idea sendiri atau pengubahsuaian yang perlu dihasilkan dalam bentuk laporan kerja kursus secara bertulis, model dan pembentangan bagi tujuan memperbaiki ciri-ciri reka bentuk sedia ada.
PELUANG MELANJUTKAN PELAJARAN
· Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)/Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
· Politeknik
· Institut Latihan Perindustrian (ILP)
· Institut Kemahiran Mara (IKM)
· Kolej Komuniti
LALUAN KERJAYA
· Jurutera Mekanikal
· Pembantu Jurutera
· Penyelia
· Juruteknik Kanan
·
Juruteknik di Sektor Kerajaan / Badan Berkanun / Sektor Awam

